Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama pelajar yang menerima tajaan MARA pada Majlis Perhimpunan Saya Anak Mara di UniKL MIAT (Kampus Subang), Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 APRIL 2018.

SUBANG –  Pengundi bumiputera pada PRU-14 perlu memastikan agar angan-angan pembangkang agar berlakunya tsunami Melayu tidak menjadi kenyataan. 

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ini kerana Barisan Nasional (BN) perlu meneruskan kepimpinannya sebagai sebuah kerajaan agar dapat terus membela kaum majoriti itu dan dalam masa yang sama memperkasakan Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

“Kalau kita nak tergelincir dari landasan perjuangan tersebut maka saya percaya jutaan anak MARA tidak akan mengizinkannya berbeza dengan belah sana mereka akan melihat kalau ada yang tidak selaras dengan konsep Malaysian Malaysia pasti mereka akan lakukan sesuatu. 

“Sebab itu penting bagi kita untuk pastikan PRU-14 ini tidak akan berlaku tsunami Melayu.. kononnya itulah yang akan cuba dilakukan oleh mereka tetapi orang-orang  Melayu dan bumiputera akan terus  meletakkan keyakinan kepada BN kerana inilah satu-satu parti politik yang boleh menjamin masa depan kita,” katanya di hadapan lebih kurang 5,000 warga MARA di hangar UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology  (MIAT) Subang petang tadi.

Warga MARA hari ini berkumpul beramai-ramai demi menyatakan sokogan dan penghargaan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

Terdahulu, Najib menyifatkan warga MARA  merupakan sebahagian kumpulan yang sentiasa memastikan perjuangan UMNO dan BN sentiasa berada pada landasan yang benar. 

Beliau selain itu memberi jaminan MARA akan sentiasa diperkasakan seperti perjuangan allahyarham ayahandanya,Tun Abdul Razak Hussein.

Tambah beliau, kewujudan MARA juga selaras dengan perlembagaan UMNO untuk menjaga hak-hak orang Melayu yang perlu dipertahankan. 

“Kewujudan MARA begitu dekat di hati kerana ayahanda saya, maka pada diri saya MARA adalah sebati dengan perjuangan keluarga Tun Razak dan saya sebagai anakandanya sudah pasti akan meneruskan kesinambungan perjuangannya.

“Kewujufan MARA adalah hubung kait dengan perlembagaan parti UMNO kerana dalam fasal parti UMNO tertulis dengan jelas  bahawa hak-hak Melayu Bumipitera akan  terus diperjuangkan dan MARA badan yang penting untuk merealisasikan perjuangan orang Melayu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast