Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) berbincang sesuatu dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) pada Majlis Penutup Putrajaya Forum 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri membayangkan akan berlaku semakin banyak penularan berita palsu menjelang PRU-14 tidak lama lagi.

Ia mungkin mengancam keselamatan negara, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah katanya, akan berlaku perkongsian berita palsu pada tahap maksimum dan kerajaan akan bertindak sekiranya ia tidak terkawal.

“PRU-14 hanya berbaki tiga minggu lagi, tempoh ini adalah tempoh yang sebilangan orang memanggilnya sebagai ‘musim gila’.

“Tempoh inilah kita akan saksi banyak berita dan berita palsu dimuatkan secara digital, dikongsi dalam rangkaian dan diautomasikan pengolahannya,” katanya dalam ucapan penutup Forum Putrajaya 2018 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Justeru itu, Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan berusaha untuk mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku dan salah satunya adalah pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan minggu lalu.

“Hari ini kita hidup di era teknologi siber atau era yang mana alam siber kini tidak lagi selamat, bahkan ancaman siber kini berada di senarai paling atas bagi kebanyakan negara,”

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 April depan sebagai tarikh penamaan calon dan 9 Mei depan sebagai tarikh pembuangan undi di seluruh negara.

PRU-14 diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak membubarkan Kabinet pada 7 April lalu bagi memberi laluan kepada PRU14. -MalaysiaGazette