KUALA LUMPUR – Maybank menjangka urus niaga perbankan dalam taliannya meningkat kepada 6.4 bilion tahun ini, dipacu oleh laman web Maybank2u baru yang akan dilancarkan kepada orang ramai pada 19 April ini.
Maybank2u baru itu dilengkapi dengan perubahan antara muka pengguna yang lengkap dan menawarkan pengalaman yang dipertingkatkan ketika transaksi.
Ia juga telah dipermudahkan dengan mengambilkira keperluan peribadi dan maklum balas pelanggan.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, sejak pengenalan perkhidmatan perbankan dalam talian bank pada tahun 2000, jumlah urus niaga yang dijalankan dalam talian telah meningkat dengan mantap setiap tahun.
Setakat tahun lalu, urus niaga dalam talian mencapai 4.27 bilion.
“Dengan adanya perbankan mudah alih dan peningkatan penggunaan telefon pintar serta penembusan internet, pertumbuhan transaksi dalam talian semakin pantas dengan kenaikan 49 peratus pada tahun 2017.
“Jumlah transaksi kewangan perbankan dalam talian melalui Maybank2u berjumlah sekitar RM360 juta dan pada kemuncaknya, Maybank2u telah mencatatkan 20 juta transaksi dalam satu hari,” katanya.
Pada 2017, kira-kira 99.6 peratus daripada jumlah pembayaran dan pemindahan perbankan pengguna Maybank dijalankan melalui platform dalam talian dan perkhidmatan diri (ATM).
Nilai urus niaga yang dibuat melalui Maybank2u pada 2017 berjumlah RM318 bilion, iaitu kenaikan 34 peratus berbanding tahun 2016.
Lim menambah, bilangan pengguna berdaftar Maybank2u telah berkembang kukuh dan kini berada mencapai 10.69 juta dan angka ini dijangka berkembang 20 peratus hingga 30 peratus setiap tahun.
Maybank2u yang baru akan dilancarkan secara progresif ke pasaran utama Maybank di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina.
Laman web Maybank2u yang baru akan memberikan pengguna lebih kemudahan ketika menjalankan transaksi dalam talian.
Ia akan menawarkan pilihan kiriman wang apabila pelanggan ingin memindahkan dana di luar negara. – MalaysiaGazette