Percaturan MCA di Kuantan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju masih belum selesai
Percaturan MCA di Kuantan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju masih belum selesai.

KUALA LUMPUR – Pengagihan untuk tiga kerusi Parlimen antara MCA dengan UMNO belum dimuktamadkan walaupun terdapat laporan bahawa Wangsa Maju akan ditandingi MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam wawancara bersama China Press berkata, rundingan mengenai tiga kerusi itu masih dijalankan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Wangsa Maju berserta Kuantan yang dipinjamkan kepada UMNO harus dipulangkan, dan MCA juga mahu terus bertanding di Bandar Tun Razak.

“Kalau ada pinjam mesti ada pulang. Kalau macam ini, barulah senang kalau nak pinjam lagi pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun masih dirundingkan, tetapi MCA yakin dapat bertanding di ketiga-tiga kerusi yang terletak di Kuala Lumpur dan Pahang itu.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, walaupun MCA diejek sebagai pak turut UMNO,  tetapi parti itu sebenarnya mempunyai pendirian sendiri dan tidak sesekali “diikat dan ditarik oleh UMNO.”

Mengakui kadang-kala dibebani oleh rakan sepasukan, Tiong Lai berkata, dalam hal sedemikian, MCA akan memastikan diri mempunyai garisan jelas dengan pihak berkenaan.

“MCA akan menegaskan bahawa kenyataan rakan tersebut tidak ada kena-mengena dengan kami, dan ia bukan kenyataan MCA,” katanya.

Tiong Lai berkata, MCA terus memperjuangkan kepelbagaian dan kesederhanaan dalam negara serta percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. –  MalaysiaGazette