Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA – Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dinasihatkan agar menyelesaikan masalah perebutan kerusi di negeri tersebut secara berhemah bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya nanti.

Presiden Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, presiden kedua-dua parti tersebut perlu berbincang dan mendapatkan kata sepakat sebelum penamaan calon 28 April ini.

“Soal PAN, sebab mereka sudah ada di sana, sebab keluar daripada Pas. Ini terserah kepada Warisan untuk mencari jalan penyelesaian kepada tuntutan beberapa kerusi yang telah dibuat oleh PAN sebagai komponen Pakatan Harapan di Sabah.

“Saya minta budi bicara Presiden Warisan dan PAN untuk berbincang supaya isu tuntutan kerusi selesai sebelum hari penamaan calon untuk elak pertembungan,” katanya ketika diminta mengulas lanjut permintaan Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini agar bukan sahaja PAN malah PPBM untuk tidak bertanding di negeri itu.

Muhyiddin mewakili PPBM dalam pada itu memberi jaminan bahawa parti itu tidak akan bertanding di Sabah.

“Memang pun kita (PPBM) tidak akan bertanding, kita tidak ada cawangan di sana sejak awal lagi. PPBM telah membuat keputusan kita tidak masuk Sabah atau Sarawak jadi tidak berbangkit yang disebutkan Presiden Warisan,” katanya.

Terbaru PAN Sabah, Hamzah Abdullah menegaskan pendirian parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya dua kerusi di Sabah.

Hamzah kemudiannya menyifatkan Shafie tamak dan menggambarkan akan berlakunya perpecahan undi jika tidak ada toleransi daripada Warisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast