Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.
Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.

KUALA LUMPUR – Perjuangan Pas lebih kepada retorik, bukan berasaskan matlamat memperjuangkan Islam, dakwa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Jika dibandingkan dirinya dengan Pas, Ibrahim mendakwa dirinya lebih ikhlas dalam memperjuangkan amal makruf nahi mungkar  berbanding parti yang mendakwa membangun bersama Islam, tetapi tidak melakukan apa-apa.

“Saya tidak ada parti, saya berjuang secara individu tetapi perjuangan saya adalah untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya memperjuangkan kalimah Allah, saya mempertahankan pendakwah, Dr Zakir Naik. Saya membela orang Melayu dan lantang memperjuangkan rizab Melayu.

“Pas tak buat apa-apa, hanya cakap,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Ibrahim mengumumkan akan bertanding di dua kerusi pada PRU14, 9 Mei ini, iaitu Parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong sebagai calon rakyat.

Beliau yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang membatalkan hasrat itu atas permintaan dan desakan rakyat Pasir Mas.

Menurutnya, pemimpin Pas sebenarnya layak menjadi imam masjid, bukan pemimpin kerana mereka banyak berbohong kepada rakyat dengan bercakap amal makruf nahi mungkar, tetapi tidak dibuatnya.

Ibrahim turut menyifatkan PRU-14 ini walaupun menyaksikan pertandingan tiga dan empat penjuru tetapi perlawanan BN dengan Pas seperti sudah diatur.

“Saya tengok politik Kelantan ini, antara BN dengan Pas, kalau main bola seperti permainan diatur.

“Saya kata begitu kerana perkiraan saya BN hanya boleh kekal menang lima kerusi Parlimen sedia ada atau tambahan tiga lagi dijangka menang iaitu Parlimen Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

“Manakala baki enam kerusi Parlimen lagi iaitu Tumpat, Kota Bharu, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Rantau Panjang akan diberikan kepada Pas,” katanya.

Ditanya, adakah Perkasa akan meletakkan calonnya bertanding, Ibrahim berkata, keputusan itu akan ditentukan dalam mesyuarat khas Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pertubuhan itu malam ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan dua DUN lagi dalam Parlimen Pasir Mas iaitu Pengkalan Pasir dan Meranti akan ditandingi ahli Perkasa.

“Keputusan muktamad malam ini, termasuk kedudukan saya sebagai Presiden Perkasa. Saya jemput media datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast