KUALA LUMPUR – myPPP kini perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam arus politik tanahair tanpa Tan Sri M. Kayveas selepas ini.
Sebagai permulaan, parti itu disarankan supaya meneruskan usaha menstabilkan ahlinya untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pemecatan Kayveas sebagai presiden mencetuskan persoalan apakah pengikut beliau dan ahli lain myPPP akan mengambil langkah keluar parti.
“Kita juga perlu memikirkan tentang potensi apakah Kayveas akan bertanding Bebas atau menyertai pakatan pembangkang sebagai mengubati kekecewaannya.
“Apapun, kepimpinan myPPP kini perlu bersedia untuk memastikan parti itu terus stabil tanpa masalah dan membantu MIC dan BN menang di Cameron Highlands dan PRU14
“Kalau kita lihat sidang media Majis Tertinggi myPPP, jelas mengakui kerusi rebutan Kayveas sebelum ini adalah milik MIC dan tidak diberikan kepada myPPP,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivamurugan berkata, myPPP serta pemangku yang mengambilalih sementara pentadbiran parti menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan jentera parti tidak tergugat dan berpecah berikutan pemecatan orang nombor satu itu.
“Mereka mempunyai tugas besar bagaimana hendak memastikan kepimpinan dan jentera parti PRU14 itu tak tergugat dengan situasi semasa,” tegas beliau.
Menurutnya, tindakan Kayveas mengugut untuk bertanding sebagai calon Bebas atau keluar BN jika kerusi Cameron Highlands tidak ditawarkan kepada myPPP merupakan antara faktor yang mengundang tindakan disiplin dan pemecatannya.
“Saya rasa isu itu yang mendapat teguran Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri ) di kemudian hari berkemungkinan menyaksikan BN hantar surat kepada jawatankuasa disiplin parti itu menggesa tindakan ke atas Kayveas,” tambah beliau.
Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi myPPP pada sidang media tergempar hari ini telah memecat keanggotaan Kayveas berkuatkuasa serta merta atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan jawatan presiden parti demi kepentingan peribadi.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk K. Mohan, Kayveas didakwa menggunakan kedudukan sebagai presiden untuk memuktamadkan pelbagai keputusan tanpa berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti, sekali gus melanggar perlembagaan myPPP.
Antaranya Kayveas memutuskan untuk melepaskan empat kerusi Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Highlands walaupun beliau tidak mendapat mandat Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Presiden Kanan myPPP, Maglin De Cruz dilantik sebagai pemangku Presiden mulai hari ini – MalaysiaGazette