KUALA LUMPUR – Bukit Aman hari ini mengedarkan gambar seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Palestin, Dr Fadi Albatsh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, saksi-saksi mengenal pasti salah seorang daripada dua suspek itu berikutan penemuan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan nombor pendaftaran BKJ 413 di Tasik Danau Kota, pagi semalam.
Suspek dipercayai meninggalkan motosikal itu di tasik berhampiran, kira-kira sembilan minit dari lokasi pembunuhan.
“Polis percaya suspek masih lagi berada dalam negara. Mereka mungkin mengubah penampilan bagi mengelak di kesan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, suspek telah berada di negara ini sejak Januari lalu dan kemungkinan menggunakan dokumen palsu.
“Setakat ini kita masih menyiasat dan percaya mereka ini pembunuh terlatih kerana pembunuhan tersebut dilakukan secara profesional,” kata beliau.
Dalam pembunuhan kejam itu, Dr. Fadi ditembak dalam jarak dekat oleh dua orang lelaki yang memakai topi keledar menutup muka ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat subuh di Setapak, Sabtu lalu.
Dr. Fadi yang juga imam ditembak ketika berjalan keluar dari kediamannya di Kondominium Idaman Puteri untuk ke surau.
Dua suspek itu dikatakan telah menunggu kira-kira 20 minit di kawasan gelap dekat Jalan Meranti Setapak sebelum menembak mati pensyarah itu.
Polis menemui 14 peluru di kawasan pembunuhan. – MalaysiaGazette