KUALA LUMPUR – Jenazah Dr Fadi AlBatsh akan diterbangkan ke kampung halamannya di Gaza pada pukul 7 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Dr Abdol Rohim Shehab yang merupakan rakan Allahyarham Dr Fadi, yang datang ke negara ini untuk menguruskan jenazah pensyarah itu.
Katanya, pada masa ini keluarga Dr Fadi sedang menunggu jenazah yang akan dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur dan akan disembahyangkan di Surau Medan Idaman di sini sebelum dibawa ke KLIA.
Tambahnya, kesemua ahli keluarga iaitu isteri dan tiga anak Allahyarham Dr Fadi akan turut sama pulang ke Gaza.
“Terima kasih kepada semua pihak di Malaysia yang telah memberikan kerjasama dalam menguruskan hal ini termasuk urusan jenazah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menziarahi keluarga Allahyarham Dr Fadi di kediamannya di Kondominium Idaman dekat Setapak.
Dalam kunjungannya itu Shahrizat yang mewakili
Wanita UMNO Malaysia menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban terhadap segala urusan pengurusan jenazah.
Ketika ditemui media, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa sedih terhadap kejadian yang menimpa keluarga Allahyarham selepas tujuh tahun mereka berada di sini.
“Kami harapkan mereka yang bertanggungjawab terhadap kes ini akan dibawa kemuka pengadilan dan menerima balasan yang setimpal di atas perbuatan mereka itu,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan itu.
Dr. Fadi ditembak mati dalam jarak dekat oleh dua lelaki pada Sabtu lalu ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat subuh di surau berhampiran kediamannya di Setapak. – MalaysiaGazette