Pemimpin yang pentingkan diri sendiri sentiasa menganggap dirinya terbaik, terpintar dan terbijak, sedangkan mereka telah abaikan tanggungjawab diberi.
Pemimpin yang pentingkan diri sendiri sentiasa menganggap dirinya terbaik, terpintar dan terbijak, sedangkan mereka telah abaikan tanggungjawab diberi.

ANDA menjadi pemimpin untuk apa sebenarnya?

Ini pertanyaan ikhlas lagi jujur dari saya. Untuk rakyat? Orang lain juga layak menjadi pemimpin kalau setakat untuk membela rakyat. Untuk kepentingan diri? Ini ada kemungkinan.

Kalau anda kata anda mahu menjadi pemimpin untuk membela rakyat, apakah yang telah anda sumbangkan kepada mereka selama anda menjadi pemimpin?

Sedangkan, setiap hari saya melihat kehidupan rakyat di kawasan anda masih ditakuk lama. Hari-hari saya mendengar rungutan dan keluhan mereka.

Sepatutnya, jika anda menjadi pemimpin untuk rakyat, rungutan dan keluhan tidak lagi kedengaran atau sekurang-kurangnya masalah yang menghimpit berkurangan atas kebijaksanaan anda memimpin dan menyelesaikannya.

Tapi, bila masuk ke kawasan anda, banyak rungutan kedengaran. Bukan satu kawasan, banyak kawasan hadapi masalah yang sama. Di mana anda ketika rakyat memerlukan pemimpin untuk menyelesaikan masalah mereka?

Berpuluh tahun anda ‘mendera’ perasaan rakyat. Kini, tiba giliran pucuk pimpinan menukar ganti tempat anda kepada orang lain. Tetapi, anda protes. Anda bantah. Anda marah dan anda merajuk.

Anda tuduh macam-macam kepada pucuk pimpinan, kononnya pucuk pimpinan tidak kenang jasa anda. Kononnya, pucuk pimpinan memilih pemimpin ganti yang tidak disukai rakyat. Kononnya, rakyat akan bersama-sama dengannya untuk menolak kehadiran muka baharu.

Padahal, andalah pemimpin yang tidak disukai rakyat. Berpuluh tahun anda diberi peluang berkhidmat, anda gagal manfaatkan peluang itu. Anda tidak langsung mendekati rakyat. Anda gagal menyelami perasaan rakyat.

Anda hanya kirim wakil untuk bertemu mata dengan rakyat. Rakyat tahu, masalah mereka tidak akan sampai dengan tepat ke lubuk hati anda dengan hanya melalui wakil. Rakyat makan hati dengan sikap anda.

Anda pula menerima laporan yang sudah banyak diedit oleh wakil anda. Sepatutnya ada 10 aduan dan permasalahan, dalam laporan hanya mencatatkan satu dua masalah sahaja. Itu pun masalah yang kecil-kecil.

Jadi, tepatlah kalau saya katakan, anda menjadi pemimpin selama ini hanya penting diri sahaja.

Anda hanya nampak kekayaan, kemewahan dan lubuk rezeki yang datang mencurah-curah kalau anda menjadi pemimpin. Sebab itu anda tidak mahu berhenti jadi pemimpin dan ada yang sanggup lakukan apa saja untuk jadi pemimpin.

Bagi anda, lagi lama memimpin, lagi banyak lombong-lombong rezeki akan dikorek. Masalah rakyat? Biarlah mereka selesaikan sendiri. Mereka sudah biasa hidup susah, teruskanlah dengan kehidupan begitu.

Kalau rakyat marah pada anda pun, anda anggap setahun dua sahaja. Bila dekat pilihan raya, anda turunlah ke kawasan bersama rakyat. Belanja teh tarik, belanja nasi berlauk. Bagi token samah serial, rakyat akan baiklah dengan anda.

Sebab itu, pemimpin seperti andalah yang mudah merajuk dan suka menggugut pucuk pimpinan kalau anda tidak terpilih lagi untuk musim akan datang.

Tingkah laku anda sebenarnya telah menunjukkan siapa diri anda. Anda bukan seorang pemimpin, anda hanyalah seorang yang berkepentingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast