CAMERON HIGHLANDS – Dua masalah utama – infrastruktur dan perumahan untuk golongan B40 – akan diatasi sekiranya masyarakat di sini terus kekal memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, kali ini.
Jaminan itu disuarakan Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh yang akan mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Beliau berkata, secara prinsipal beliau sudahkan diberi kelulusan oleh kepimpinan BN untuk membuat projek perumahan rakyat di Tanah Rata dengan berkonsepkan sewa beli.
“Itu hasil kerja yang saya buat sebagai penyelaras parti di kawasan ini sejak 10 bulan lalu.
“Tanggapan bahawa semua penduduk Cameron Highlands kaya adalah salah. Ada antara mereka tidak dapat membeli rumah kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap,” katanya ketika ditemui pada persiapan menjelang hari penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highland, di sini, hari ini.
Selain itu, Sivarraajh berkata, pembangunan infrastruktur di situ juga perlu dibuat secara berterusan ekoran kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah utama penduduk tempatan.
Ini berikutan purata 20,000 orang melancong ke kawasan tumpuan itu setiap minggu.
“Manifesto BN yang merangkumi semua aspek menjadi kelebihan besar kepada kita. Saya yakin kita boleh menyelesaikan masalah di sini dengan menggunakan kemudahan serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada PRU ke-13, BN menang dengan majoriti sebanyak 462 undi menerusi bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang menentang wakil DAP, M Manogaran. – MalaysiaGazette