lemas, China
Gambar hiasan

KUANTAN – Mayat dua lelaki warga China yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot terbalik di Sungai Kobat, Kampung Padang di sini semalam, ditemukan pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, mayat Chen Xi, 29, dijumpai pada pukul 9.30 pagi manakala rakannya Ren Cheng, 29, ditemukan kira-kira setengah jam kemudian.

Kedua-dua mereka merupakan pekerja China Communications Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi mereka dilihat tenggelam selepas bot fiber yang dinaiki mereka bersama dua lagi rakan sekerja terbalik pada pukul 4.16 petang semalam.

“Dalam kejadian itu, dua rakan dan pemandu bot yang merupakan warga tempatan berjaya diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mereka yang terselamat ialah Duan Feng dan Zhang Jian Zheng, kedua-duanya berusia 27 tahun serta pemandu bot Mohd Yusdi Mohd Yusof, 38, dari Taman Tas, di sini.

Mohd Sani menambah mayat kedua-dua mangsa itu telah dikenal pasti wakil syarikat CCCC di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. – Bernama