KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor akan mendedahkan salah laku 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu termasuklah Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 5 Mei akan datang.
Turut bekerjasama dengan pertubuhan tersebut, Solidariti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menerusi Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, ia adalah pendedahan yang bertujuan untuk memberi maklumat telus kepada pengundi di negeri itu sebelum mereka membuat pilihan wakil rakyat di kawasan masing-masing pada 9 Mei ini.
“Kita akan kumpulkan NGO-NGO di Selangor untuk buat pembentangan kita akan tunjukkan semua bukti setakat ini kita mengesan 9 calon yang mempunyai rekod jenayah dan korupsi.
“Antaranya adalah Pelabuhan Klang (Azmizam Zaman Huri), Tanjung Sepat (Borhan Aman Shah), Gombak Setia (Hilman Idham) dan Bukit Antarabangsa (Azmin Ali).
“Jenayah ini sampai tahap gunakan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor dan dalam parti mengeluarkan dokumen palsu untuk ambil duit dan tipu orang,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.
Parti-parti lain yang bertanding di negeri itu juga turut dijemput untuk melihat sendiri pendedahan-pendedahan yang akan dilakukan.
Badrul atau Chegubard memaklumkan pendedahan yang dibuat bersama bukti dilakukan oleh NGO negeri itu selepas laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat.
“Kita bertanggungjawab di atas semua pendedahan yang kita lakukan dan kita sangat serius,”katanya.
Tambahnya, senarai nama ADUN yang lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Dalam masa yang sama ujarnya, kesemua calon yang diumum namanya kelak turut dijemput untuk hadir ke pembentangan itu nanti.
SAMM juga menyebarkan risalah ’12 politikus wajib kalah’ yang dibuat berdasarkan daripada kajian dalam kalangan pengundi muda. – MalaysiaGazette