Chegubard ketika sidang media
Chegubard pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – PKR disifatkan parti yang mempunyai pemimpin yang hanya tahu membincangkan isu tentang kuasa semata-mata.

Lebih buruk kata Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, parti itu melibatkan isu calon di Selangor khususnya tidak serius bila menukar kerusi atas alasan’suka sama suka’.

“Ini masalah PKR calon diletakkan berdasarkan kem, sepatutnya calon diletakkan berdasarkan siapa yang boleh mendepani masyarakat tempat itu khususnya calon ADUN (Ahli dewan Undangan Negeri)

“Ini kerja gila saat terakhir ambil calon daripada Taman Medan hantar ke Lembah Jaya, lagi gila, Presiden dah umum Seri Setia dengan Kota Anggerik lepas pengumuman boleh pula tukar suka sama suka.

“Ingat ini macam kumpul setem ke? Tukar suka sama suka? Ini bukan hobi. Ini tanggungjawab dan amanah dan kali ini saya sebut.

“Negeri Selangor khususnya ini menggambarkan mereka (PKR) hanya berbincang pasal kuasa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian mengulas tentang penukaran calon di antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Kota Anggerik yang dibuat pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon esok.

PKR sebelum ini menamakan Naib Presidennya, Shaharuddin Badaruddin di kerusi DUN Kota Anggerik manakala di Seri Setia pula ialah anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Najwan Halimi.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bertukar tempat dengan Najwan kini merupakan calon bagi kerusi Kota Anggerik dan Shaharuddin calon untuk DUN Seri Setia.

Mengulas mengenai tindakan Presiden PKR, Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan menggugurkan calon yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor, Badrul atau Chegubard yang pernah menjadi ahli parti itu berkata, pertembungan dalaman PKR sedang membarah.

“Saya tahu pertembungan dalam parti itu sangat parah sangat dalam. Parti ini hanya membincangkan soal kuasa, ambil mudah dengan pilihan calon ikut kem ikut suka hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast