CAMERON HIGHLANDS – Calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata hanya menyasarkan untuk mendapatkan 40 peratus undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang dijadual berlangsung 9 Mei ini.
Calon muka baru DAP, Chiong Yoke Kong yang juga bekas pengarang portal berita yang berusia 35 tahun itu berkata, angka itu adalah sasaran realistik.
“Saya tahu ini bukan saingan yang senang. Sasaran saya hanya 40 peratus kemenangan sendiri dan 60 peratus kemenangan lawan. Itu lebih realistik.
“Untuk itu, saya perlu kerja kuat untuk meraih kemenangan,” katanya yang melepaskan kerjaya sebagai pengarang yang dijawat sejak lima tahun lalu.
Pada pilihan raya kali ini, DAP menggunakan logo PKR.
Dewan Undangan Negeri Tanah Rata bakal menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan dua pencabar lain iaitu wakil Barisan Nasional (BN), Leong Tak Man dan Presiden Generasi Baru, Datuk S Kumar yang bertanding atas tiket PAS.
Pada PRU ke-13, calon DAP, Leong Ngah Ngah menang dengan majoriti 3,144 undi selepas meraih 7,878 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang Ho Yip Kap (BN) yang meraih 4,734 undi dan calon Bebas, Dr Cheam May Choo (408 undi). – MalaysiaGazette