Tuan Sabariah memilih untuk turun ke DUN Chempaka berkempen untuk calon Pas, Fathan, walaupun anaknya Nik Omar bertanding atas tiket PH.
Tuan Sabariah memilih untuk turun ke DUN Chempaka berkempen untuk calon Pas, Fathan, walaupun anaknya Nik Omar bertanding atas tiket PH.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz bakal berdepan ujian getir untuk memenangi kerusi itu pada PRU-14 ini.

Ini ura-ura mengatakan ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak yang tidak merestui beliau bertanding atas tiket PH dan akan turun ke DUN berkenaan untuk berkempen bagi calon Pas yang juga penyandangnya, Ahmad Fathan Mahmood.

Berita itu bukan sebarang spekulasi, sebaliknya diakui sendiri oleh adiknya, Nik Mohamad Abduh melalui akaun Facebooknya hari ini.

Dalam status itu, Nik Abduh yang dicalonkan bertanding atas tiket Pas di Parlimen Bachok menyatakan, bondanya akan turut berkempen di DUN Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa bagi memenangkan  Ahmad Fathan dan calon parlimen, Ahmad Marzuk Shaari.

“Insya-Allah, bonda kami Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak akan turut berkempen di DUN Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa bagi memenangkan calon Pas.

“Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempennya di Bachok, atas faktor kesihatannya yang sedikit membataskan pergerakannya selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera Pas dan rakyat di Bachok tetapi disebabkan ada sedikit ‘gangguan’ daripada dalam keluarga kami terhadap Pas di DUN Chempaka khususnya maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat Pas di sana,” kata Nik Abduh lagi.

Justeru, Nik Omar dilihat sebagai anak derhaka dalam kalangan keluarga kerana mengambil keputusan untuk berlainan parti dan perjuangan daripada Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz.

Nik Omar yang sebelum ini menafikan bertanding dalam PRU-14 atas tiket PAN (yang menggunakan lambang PKR) muncul secara mengejut di pusat penamaan calon di Pengkalan Chepa, Sabtu lalu sebagai calon PH.

Menurut Nik Abduh menerusi statusnya itu lagi, beliau bagi pihak seluruh keluarga al Aziziyah dukacita atas apa yang berlaku dan memohon maaf kepada jentera Pas seluruh negara merujuk kepada pencalonan Nik Omar.

Sementara itu, Nik Abdu juga mengimbas kembali betapa ‘merana’ ibunya dengan apa yang berlaku dan mengaitkan pertubuhan IKRAM dan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamd atas apa yang berlaku melibatkan Nik Omar.

“Ia sesuatu yang amat sukar. Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat tembakan yang dilepaskan sejak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram dan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dua hari lepas, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda. Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan.

“Tun dan IKRAM itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan Pas,” katanya.

Untuk rekod, IKRAM Malaysia yang dikatakan memainkan peranan menonjolkan tiga anak pimpinan Pas untuk melawan pengaruh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Oleh kerana kekanda saya, Nik Omar belum balik ke rumah bonda, suka saya menasihati dan menyarankan beliau untuk merujuk kepada kisah agung seorang khalifah Islam yang sah dibaiah oleh umat Islam selepas kematian Yazid Muawiyah iaitu al sahabiy al ‘Aa’iz bil Bait Abdullah Ibn al Zubair radhiaLlahu anhuma,” katanya.

Beliau turut menggesa abang sulungnya itu menghayati bait penuh air mata antara al ‘Aa’iz dan bondanya Asma’ binti Abu Bakar (kakak kepada Ummul Mukminin ‘Aisyah binti Abu Bakar) saat beliau memohon pandangan dan restu bondanya itu bagi menempuh kemuncak kesukaran membuat keputusan di sepanjang hidupnya.

“Ia sama ada menyerah diri kepada panglima perang Bani Umayyah yang telah berbulan-bulan mengepung Kaabah dan kota Makkah atau terus memerangi bala tentera kejam itu sehinggalah rebah syahid.

“Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada di sisi.

“Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina,” tulis beliau. – MalaysiaGazette

Nik Omar membelakangkan nasihat bonda?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast