KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Wangsa Maju berjanji akan menggunakan sejumlah peruntukannya sebagai Ahli Parlimen untuk mewujudkan ‘dana khas’ bagi kegunaan menaik taraf rumah ibadat iaitu masjid, surau, tokong dan kuil.
Datuk Yew Tiong Look berkata, usaha itu termasuklah untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk setiap tempat beribadat ketiga-tiga kaum demi memastikan keselesaan.
“Saya akan menggunakan dana khas daripada elaun yang saya perolehi sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju untuk naik taraf tokong, kuil juga surau termasuklah masjid, itu saya mahukan,” katanya pada sidang media di Setapak sebentar tadi.
Terdahulu beliau mengumumkan manifesto khas untuk penduduk Wangsa Maju yang bertemakan ‘ Membina Wangsa Maju di masa depan dengan cemerlang’.
Antara hasratnya untuk membangunkan kawasan itu adalah, memindahkan tapak ‘Up Town Danau Kota’ di Setapak ke kawasan yang lebih kondusif dan selesa.
Menurutnya, tindakan tersebut boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
“Satu kawasan baru untuk peniaga-peniaga ‘Up Town Danau Kota’ berniaga di dalam kawasan yang lebih selesa dan lengkap telah dikenalpasti.
“Kawasan baru ini juga tidak mengganggu para penduduk di kawasan perumahan dan ianya lebih memudahkan orang ramai untuk berkunjung serta membeli belah.” tambahnya.
Menariknya, ‘Up Town Danau Kota’ yang akan dipindahkan kelak adalah bangunan dua tingkat yang turut menempatkan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Selain itu Tiong Look juga merancang untuk memindahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu yang kini terletak di Pudu ke Wangsa Maju untuk memperkukuhkan aspek keselamatan.
Beliau turut mempertimbangkan usaha memanjangkan laluan LRT ke kawasan yang dikenalpasti dan melebarkan jalan-jalan sedia ada sebagai usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette