Khaled Nordin
Mohamed Khaled sentiasa dekat di hati rakyat.

PASIR GUDANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin malam ini menyampaikan tiga pesanan buat pengundi Tionghua di negeri itu.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas berkata, pesanan yang disampaikan itu untuk memastikan masyarakat Tionghua dapat sama-sama meningkatkan kejayaan Johor selepas PRU-14.

“Pada masa sama saya ingin ingatkan masyarakat Tionghua, apa sahaja kita (kerajaan negeri) buat, pertama kita mahu wujudkan perseimbangan maka penting apabila untuk pastikan ada wakil masyarakat Tionghua sebagai sebahagian dalam kerajaan.

“Kedua, saya harap dan ingin melihat dalam pilihan raya ini, ada wakil masyarakat Tionghua yang boleh dilantik dalam kerajaan. Tuan-tuanlah yang tentukan sama ada ia jadi atau tak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor memberitahu demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Cina dekat Masai di sini malam tadi.

Hadir sama, calon BN DUN Johor Jaya, Datuk Tan Cher Puk.

Mohamed Khaled berkata, jika mereka salah membuat pilihan dalam PRU-14 maka pasukan kerajaan yang dibentuk tidak akan diwakili oleh masyarakat Tionghua.

“Ketiga, saya harap masyarakat Tionghua jadi sebahagian ‘Team Johor’ untuk mengangkat aspirasi Johor iaitu menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia.

“Inilah tiga pesanan saya pada masyarakat Tionghua sempena pilihan raya tidak lama lagi.

“Kita harus faham kerajaan negeri dan pusat harap pengundi di Johor bijak memilih, apa pun pihak lain cakap dan kritik, kritikan serta kecaman tidak boleh pulihkan keadaan.

“Mereka tiada formula dan cadangan bagaimana hendak pulihkan keadaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast