Beberapa budak bermain basikal melintasi bendera-bendera parti politik menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Pantai Dalam, Bangsar, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2018
Beberapa budak bermain basikal melintasi bendera-bendera parti politik menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Pantai Dalam, Bangsar, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Gabungan dan kerjasama dengan beberapa veteran UMNO berpengaruh memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen menjelang PRU-14.

Penganalisis politik, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, penyertaan Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz memberi nilai tambah kepada kepada parti pembangkang.

Masing-masing mempunyai penyokong tegar dan ada kekuatan tersendiri walaupun sudah bersara dalam politik.

“Mereka semua ini walaupun sudah tidak ada kepentingan dalam kerajaan tetapi kemunculan mereka pasti ada kesannya,” kata Atory kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat PH mendahului Barisan Nasional dalam gerak kerja dan kempen sepanjang tempoh selepas penamaan calon baru-baru ini.

PH juga bukan sahaja mendahului dalam jelajah ke setiap negeri sebelum hari berkempen malah setiap hari mengadakan ceramah perdana secara besar-besaran.

Tambah Atory, walaupun tidak dapat dilihat dari kaca televisyen tetapi rakyat dapat merasai kehadiran parti pembangkang melalui media sosial.

“PH dah lama buat kerja program ceramah-ceramah mereka, sebelum penamaan calon.

“Mereka awal dari BN, sekarang hanya ulang-ulang walapun tidak ada liputan media perdana surat khabar, atau televisyen tapi  orang banyak tengok media sosial sekarang,” katanya.

Namun demikian Atory berpendapat sokongan positif masih terhadap BN

“Kedua-dua pihak sekarang ini ada keyakinan. BN pun yakin menang Pakatan Harapan pun,” ujarnya.

Mengulas lanjut, walaupun Pas bertanding lebih  banyak kerusi  Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini namun parti itu tidak akan dapat meraih sokongan sebanyak kerusi yang dipertandingkan.

Malah, kata beliau, Pas di Kelantan semakin goyah akibat kewujudan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dijangka memecahkan undi Melayu.

“Pas tidak boleh menang besar, sukar.. Boleh bertanding tapi nak menang sukar sebab kalau setakat undi Melayu sahaja payah.

“Kalau setakat Kelantan bolehlah, itu pun di Kelantan Pas sudah berpecah dengan Amanah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast