P. Prabakaran
P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Pada kebiasaanya, calon bebas seringkali disifatkan sebagai ‘perosak undi’ namun bagi kes P.Prabakaran di Parlimen Batu, pembangkang menjulangnya.

Prabakaran yang baru berusia 22 tahun itu dijulang begitu tinggi seolah-olah dirinya adalah ‘penyelamat’ rakyat selepas calon Pakatan Harapan (PH), Tian Chua ditolak permohonan bertanding baru-baru ini.

Bagaimanapun, S. Pushpaneela, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam, M. Manoharan dengan ikhlas menasihati Prabakaran supaya jangan jangan terlalu ‘teruja’ dengan permainan politik pembangkang.

Jelas Pushpaneela yang juga ahli DAP, sebelum ini seorang calon bebas India, Arumugam di Bukit Selambau menang atas tiket bebas namun selepas menyertai PKR akhirnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selepas menerima banyak kritikan dan cemuhan.

“Tanding sebagai bebas sahaja. Itu lebih baik. Anda masih lagi muda dan politik ini sangat baharu buat anda. Calon bebas adalah bebas, bagaimana pula dalam sekelip mata sahaja dia dijadikan sebagai penyelamat rakyat oleh pembangkang terutamanya PKR?

“Sebenarnya PKR dan pembangkang teruja untuk tumbangkan pihak lawan, bukan rakyat yang didahulukan sebenarnya. Prabakaran perlu tahu diri anda adalah calon bebas, jadi bebas sahaja. Jangan termakan dengan mana-mana pihak.

“Saya mohon kepada Prabakaran supaya untuk bertanding calon bebas dan kekal seperti itu. Anda akan tentu disokong dan itu lebih baik,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Naib Presiden PKR Tian Chua sebelum ini berkata, PH menyokong Prabakaran untuk bertanding dan mempertahankan kerusi parlimen Batu pada PRU-14.

Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chiang berkata keputusan memilih Prabakaran telah disampaikan kepadanya dan dilrestui pemimpin PH.

Penyandang kerusi Parlimen Batu itu gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas saman pemulanya hari ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Prabakaran merupakan pelajar undang-undang dan calon termuda yang bertanding dalam PRU-14.

Isteri kepada bekas ADUN DAP, S. Pushpaneela
S. Pushpaneela