KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan unit Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan pemantauan semasa berlangsungnya proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pasukan tersebut akan membantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang turut dikerahkan untuk menjaga ketenteraman awam sepanjang proses PRU Rabu ini.
Malah, lebih 10,000 anggota pasukan formasi dari Bukit Aman turut dikerah untuk membantu kontinjen-kontinjen di setiap negeri.
“Selain mereka bertugas di belantara (PGA) dan sebagainya dalam unit ini juga kita wujudkan pasukan yang boleh menyuraikan rusuhan untuk membantu Pasukan Simpanan Persekutuan.
“Pasukan dari Bukit Aman, pasukan dari pusat latihan, pasukan dari briged-briged, pasukan dari pangkalan-pangkalan marin dan juga pangkalan unit udara sudah mula digerakkan ke kontinjen untuk mengawal di setiap daerah,” katanya pada sidang media di Unit FRU di sini hari ini.
Terdahulu, Zulkifli menyampaikan amanat kepada lebih 600 anggota PGA dan FRU yang terlibat sempena PRU14.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses demokrasi yang dijalankan terumatanya ketika pembuangan undi awal pada Sabtu lepas.
Ini kerana katanya, tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku setakat ini dan pergerakan kempen parti-parti politik berjalan dengan baik.
Bagaimanapun, polis tetap menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu berkaitan pilihan raya namun, ia tidaklah melibatkan perkara yang serius.
Katanya, sebanyak 227 kertas siasatan dibuka oleh pasukan PDRM membabitkan insiden tertentu dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk ditindakan lanjut. – MalaysiaGazette