PELABUHAN KLANG- Bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah bakal ‘terperangkap’ dengan politik DAP dan mereka kini hanya diperguna untuk memecah-belah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional, kata bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.
Beliau berkata, mereka yang menyokong bekas pemimpin UMNO ini pula, tidak mengendahkan nasib kaum sendiri, walaupun sudah jelas motif DAP adalah untuk memusnahkan kekuasaan politik orang Melayu.
“Sebelum bekas pimpinan UMNO itu ‘menyeberang’ dan sokong sebelah sana (parti pembangkang), saya pergi lebih awal lagi (menyertai PAS) tapi saya tengok, banyak perkara (dalam parti pembangkang) yang tidak bagus.
“Jika dari sekarang orang Melayu sendiri tak mahu selamatkan UMNO dan BN, kita akan terus berpecah belah dan mereka (DAP) boleh menang banyak kerusi seterusnya jadi kuasa baharu dalam politik negara,” katanya pada kempen calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Seikh Rajesh Seikh Ahmad, di sini malam tadi.
Muhammad yang dikenali sebagai ‘Mat Taib’ menyifatkan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang yang ‘tidak puas berkuasa’apabila menubuhkan parti itu bagi menentang UMNO dan BN sedangkan bekas perdana menteri itu sudah sepatutnya pencen dikala usianya mencecah 93 tahun.
Penyokong BN khususnya UMNO harus berganding bahu meneruskan legasi parti yang telah 60 tahun mentadbir negara dengan hasil pembangunan yang dikecapi secara lestari dan saksama sehingga kini, katanya.
“Kestabilan pentadbiran BN menyebabkan banyak pelabur luar yakin untuk melabur di sini. Saya sendiri dulu pernah ke beberapa negara kuasa besar ekonomi dunia dan mereka menyatakan yang mereka suka dengan negara kita sebab kepimpinan yang bagus dan kerajaan pun bagus,” katanya. – Bernama