Mohamad Fuzi Harun
Seorang suri rumah berusia 51 tahun ditahan pasukan Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puchong pada 9 Mei lepas kerana merancang serangan pada hari pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada hari yang sama. - KPN Tan Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat panggilan telefon misteri yang dikatakan diterima beberapa pemimpin parti politik serta pegawai kanan kerajaan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, antara yang mendakwa menerima panggilan tidak berjawab daripada nombor luar negara ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, beberapa pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Tian Chua juga turut menerima panggila misteri itu.

“Telefon bimbit saya turut menjadi mangsa serangan (terima panggilan misteri) seawal jam 5 pagi tadi yang memaparkan nombor asing daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Mohamad Fuzi pada sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bangsar di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya tindakan itu dibuat untuk mengganggu proses pemantauan hubungan komunikasi PRU14 antara pemimpin politik dan jentera parti masing-masing.

“Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM sedang mengenal pasti pihak yang melakukan kegiatan itu dan menganggap ia berniat jahat.

Hishammuddin menerusi akaun Twitter@HishammuddinH20 berkata, beliau baru sahaja selesai mengundi apabila menyedari ada panggilan tidak berjawab daripada nombor tidak dikenali, manakala Salleh turut menerima banyak panggilan spam pagi ini daripada nombor tidak dikenali, baik dari dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, telefon bimbit serta e-mel utama kebanyakan calon Pakatan Harapan (PH) menjadi sasaran serangan gaya baharu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast