Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memohon maaf kepada semua ahli parti selepas kalah dalam PRU-14 baru-baru ini.

Menerusi perutusannya sempena ulangtahun UMNO yang ke-72, Khairy bagaimanapun berkata, kekalahan parti itu tidak beerti mereka boleh berpeluk tubuh sebaliknya parti tersebut perlu dibina semula secara bersungguh-sungguh.

“Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, meminta maaf kepada ahli UMNO, kerana sebagai seorang pemimpin parti, saya tidak dapat membantu parti kita mencapai kemenangan pada kali ini.

“Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Khairy, semangat UMNO yang dahulu tidak terpalit dengan persepsi integriti sebaliknya semangat yang sentiasa berfikir demi rakyat perlu dikembalikan.

“Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong.

“Saya mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Sehubungan itu ahli parti kata KJ perlu melalui perubahan yang besar demi memastikan UMNO yang diterima oleh rakyat dapat bertapak kembali.

“Untuk kita kembali kepada UMNO yang asal ini, kita mesti melalui perubahan yang besar dalam parti. Kita mesti lakukan perubahan yang tidak pernah kita fikirkan. Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih.

“Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta. Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast