Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Osman Sapian yang enggan memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau bersama pasukannya akan merangka dasar berhubung perkara tersebut.

“Saya dengan rendah dirinya tidak bersetuju (dengan cadangan tersebut).

“Saya telah berkongsi pandangan dengan pasukan, kami akan merangka dasar mengenai perkara ini.

“Bagi memastikan demokrasi di Malaysia dipertahankan, kita memerlukan pembangkang yang berwibawa dan kuat bagi memastikan kita boleh dipercayai.

“Berikan mereka peruntukan bukan kerana mereka pembangkang tetapi demi semak dan imbang,” katanya di dalam posting terbaharu di laman Facebooknya.

SSS

Terdahulu, Osman dalam sidang medianya berkata,Kerajaan Negeri Johor yang diterajui Pakatan Harapan tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kepada ADUN Barisan Nasional kerana perkara tersebut ibarat memberikan peluru kepada pembangkang untuk menembak kerajaan.

Osman yang juga Setiausaha PPBM mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor semalam.-MalaysiaGazette