Reezal Merican Naina Merican

PULAU PINANG – UMNO negeri ini akan mengadakan perbincangan seterusnya menentukan hala tuju parti itu selepas pembentukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berikutan kekalahan pada PRU-14.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mengusulkan perkara itu kepada pucuk kepemimpinan parti negeri kelak sebaik sahaja urusan tersebut selesai.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, meskipun berdepan kekalahan pada PRU-14 namun beliau tidak beranggapan UMNO ditolak sepenuhnya oleh rakyat malah yakin parti itu masih kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu.

Buktinya, calon-calon UMNO di seluruh negara termasuk di negeri ini masih berjaya memenangi sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRU-14.

“Selain kerusi Parlimen Kepala Batas, calon UMNO di negeri ini juga menang di Parlimen Tasek Gelugor dan DUN Permatang Berangan serta Sungai Dua.

“Ini menunjukkan UMNO masih lagi parti yang menjadi pilihan dan harapan kepada pengundi khususnya dalam kalangan orang Melayu selari dengan sumbangan dan jasa parti ini sepanjang 60 tahun membangunkan negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena ulang tahun UMNO ke-72 di Kepala Batas, di sini malam tadi.

PRU-14 menyaksikan UMNO Pulau Pinang mengalami kekalahan teruk selepas hanya empat daripada 20 calonnya berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

Malah, pencapaian itu juga jauh merosot berbanding tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN yang berjaya dimenangi pada PRU-13.

Dalam pada itu, Reezal Merican mengakui wakil rakyat UMNO termasuk di negeri ini bakal berdepan tugas sukar selepas tidak lagi selari dengan Kerajaan Pusat yang kini dikuasai Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, tambahnya, perkara itu tidak akan sesekali mematahkan semangat wakil rakyat UMNO berkenaan dalam berkhidmat kepada pengundi di kawasan masing-masing memandangkan mereka sudah diberikan amanah oleh rakyat.

Ditanya mengenai prestasi buruk UMNO negeri ini pada PRU-14 pula, Reezal Merican mengakui terkejut dan tidak menyangka akan ditolak oleh majoriti pengundi.

Katanya, gelombang penolakan itu tidak ditunjukkan rakyat sewaktu mereka turun padang untuk berkempen yang mana calon-calon UMNO mendapat sambutan serta sokongan positif daripada pengundi.

“Malah, sebahagian besar calon yang bertanding juga adalah bekas wakil rakyat di kawasan masing-masing dan mereka juga tidak menerima sebarang aduan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat sebelum ini.

“Apapun, kita tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya pasrah serta reda dengan pilihan rakyat ini dan ini juga sebenarnya memberi ruang untuk kita (UMNO) bermuhasabah diri,” katanya.- MalaysiaGazette