KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar tiba di Istana Negara jam 11.50 pagi ini untuk untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Beliau ditemani isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar yang berbaju kot hitam dan kemeja putih berada di sebelah kiri kenderaan yang membawa beliau masuk ke Istana Negara melalui pintu masuk utama.
Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba seawal jam 11 pagi di Istana Negara.
Juga kelihatan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
Pada 11 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah menyatakan kesediaan untuk memberikan pengampunan penuh dan segera kepada Anwar.
Mesyuarat Pengampunan Diraja itu sepatutnya diadakan pada hari Selasa tetapi ia ditangguhkan kepada hari ini oleh Pejabat Perdana Menteri.
Pada tahun 2015, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah kerana liwat. -MalaysiaGazette