KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah menamatkan kontrak penyerang import dari Denmark, Ken Ilso Larsen berkuatkuasa serta merta.
FAP dalam satu kenyataan berkata, Larsen, 31, dilepaskan secara persetujuan bersama untuk penamatan kontrak itu.
“Pihak kami amat berterima kasih dan sangat menyanjungi sikap profesionalisme beliau sepanjang hampir lima bulan bersama kami,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Bekas penyerang prolifik Kedah yang meledak 21 gol bersama pasukan Hijau Kuning itu pada musim lalu menandatangani kontrak secara rasmi dengan FAP pada 16 Januari lalu.
Sementara itu, FAP turut mengumumkan dua lagi pemain pasukan itu iaitu Azinee Taib dan Arman Fareez juga sudah tidak lagi bersama pasukan Harimau Kumbang.
“Azinee telah ditamatkan kontraknya manakala Arman telah dipinjamkan ke UiTM FC. Pihak FAP ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada ketiga-tiga pemain terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette