Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas bercakap pada sidang media khas berkenaan statusnya sebagai presiden MyPPP dan jalinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah ditamatkan di Ibu Pejabat MyPPP, Kampung Attap, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 MEI 2018.
Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas bercakap pada sidang media khas berkenaan statusnya sebagai presiden MyPPP dan jalinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah ditamatkan di Ibu Pejabat MyPPP, Kampung Attap, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Sebaik disahkan semula sebagai Presiden MyPPP oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam, Tan Sri M. Kayveas hari ini secara rasmi menamatkan hubungan dengan Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu sekaligus menamatkan kemelut MyPPP membabitkan dakwaan dan cubaan pengambilalihan kuasa yang dilakukan pihak tertinggi di dalam parti itu.

“Secara rasmi, semalam, iaitu 18 Mei 2018, saya telah dapat satu surat rasmi daripada ROS yang bermaksud sehingga satu keputusan diambil selepas siasatan terhadap masalah MyPPP diselesaikan, Tan Sri adalah Presiden My PPP yang sah.

“(Sebelum ini) Mereka singkirkan presiden yang sah dan menggantikan presiden yang tidak disahkan oleh RoS,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas di Wisma MyPPP, dekat sini hari ini.

Berikutan itu, Kayveas berkata, pihaknya tidak berganjak daripada pendiriannya pada 17 April lalu untuk meninggalkan BN jika tidak diberikan bertanding di kerusi Cameron Highlands pada PRU-14 lalu.

“Pada 17 April lalu kenyatan saya seharusnya, `MyPPP akan meninggalkan BN’ tetapi saya tidak dibenarkan berbuat demikian. Banyak ancaman dan saya diminta membacakan kenyataan yang sudah disediakan,” katanya.

Kayveas sebelum ini dilaporkan meletak jawatan selepas gagal kerusi Cameron Highlands.

Ekoran itu, Naib Presiden Kanan MyPPP, Datuk Seri Maglin D Cruz bertindak sebagai pemangku presiden sehingga pemilihan jawatankuasa parti itu berlangsung pada Jun depan.

Kata Kayveas, tindakan menggantikan Presiden MyPPP baru sebelum keputusan ROS membuatkan pihaknya tiada ruang lagi untuk kembali kepada BN.

Bagaimanapun, ketika ditanya pihaknya akan berbincang untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), beliau tidak menolak kemungkinan itu.

Namun, katanya, ini bukan masa terbaik untuk berbuat demikian ketika kepimpinan PH sibuk menubuhkan kerajaan dan kabinet.

“Kami mempunyai hubungan yang baik. Biarkan mereka selesaikan dahulu apa yang penting dan saya pasti, mereka kawan baik saya,” katanya.

Terdahulu, Kayveas turut melucutkan keahlian tujuh anggota lain yang didakwa melanggar Perlembagaan Parti mengikut klaus 30.3 iaitu Maglin; Naib Presiden, Datuk Dr. Loga Bala Mohan dan Setiausaha Agung, Datuk K. Mohan.

Empat yang lain termasuk Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Simon Sbapathy; Ketua Penerangan, Datuk Simon Suresh; Ketua Pemuda, Sathiah Sudahkaran dan Pengerusi Tetap, Datuk Subrayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast