Presiden Pakatan Haparan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja merupakan pengiktirafan terbesar bagi wanita di Malaysia.

Ianya juga ‘bukti’ golongan hawa sudah mula diperkasa ketika ini.

Malah pelantikan Wan Azizah sebagai Menteri Wanita dan Kebajikan juga mendapat pujian dan penghargaan pelbagai pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang di terajui oleh Tun Mahathir Mohamad benar-benar memberi peluang untuk wanita kali ini.

Menurut bekas Profesor Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Maszlee Malik, lantikan yang dibuat merupakan satu lonjakan kepada pemerkasaan wanita di Malaysia pada masa kini.

Jelas beliau yang juga baru dinamakan sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun M, selama ini kementerian wanita hanya dilihat sebagai ‘tempelan’ tetapi kini diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sejarah akhirnya dilakar di bumi Malaysia. Jika sebelum ini pemerkasaan wanita atau transformasi hanya satu omongan yang selalunya didominasi oleh lelaki. Kini, golongan hawa bukan sahaja mampu melakar sejarah sebagai TPM pertama juga menunjukkan mereka mampu melakukan apa sahaja.

“Ini juga akan memberikan keyakinan kaum hawa di luar sana untuk menunjukkan keupayaan mereka. Martabat wanita akan lebih meningkat dengan pengiktirafan terhadap Wan Azizah. Wanita akan menjadi kompetetif dan kekal berdaya saing.

“Dengan lantikan ini juga, kita akan dapat lihat bagaimana Wan Azizah yang juga mempunyai latar belakang perjuangan sehingga ke tahap ini memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita ke tahap yang lebih,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

Tambah Ahli Parlimen Simpang Renggam, pelantikan itu juga membuktikan kerajaan PH tidak retorik dalam memperkasakan wanita ke peringkat lebih tinggi seperti yang menjadi laungan mereka selama ini.

Pelantikan ini menjadikan Wan Azizah, 65, sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri di negara ini.

Jawatan sama pernah disandang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993 sebelum dipecat daripada Kabinet pada 1998.

Wan Azizah menyertai dunia politik atas dorongan untuk mendapatkan keadilan bagi Anwar dengan menggalas tanggungjawab besar untuk menerajui PKR, yang diasaskannya bersama Anwar semasa kemelut politik pada tahun 1998.

Walaupun pada awalnya sering dilihat sebagai presiden yang pasif, Wan Azizah kini dilihat merentasi transformasi yang luar biasa sehingga menjadi tonggak kekuatan bukan sahaja kepada suami dan anak-anak, malah kepada rakan-rakan politik dan generasi reformasi.

Dilahirkan pada 3 Disember 1952 di Singapura, yang ketika itu masih sebahagian daripada Tanah Melayu, Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas, Alor Setar, Kedah sebelum ke Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan dan melanjutkan pengajian tinggi di Royal College of Surgeons, Ireland pada 1973 dan mendapat ijazah dalam bidang oftalmologi.

Sekembali ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai doktor dalam sektor kerajaan sebelum bersara pada 1993 apabila suaminya dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Pada PRU-14, Wan Azizah meninggalkan kerusi tradisi keluarganya, Permatang Pauh untuk membolehkan anaknya Nurul Izzah bertanding di situ.

Beliau berpindah ke Parlimen Pandan dan berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 52,543 undi untuk menewaskan empat calon lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast