Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ke Jakarta bagi mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie berhubung agenda reformasi antara kedua-dua negara itu.
Beliau berkata, pertemuan itu dijangka mengeratkan lagi hubungan antara dua negara di rantau Asia itu serta memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi khususnya di negara ini.
“Hari ini saya ke Jakarta atas undangan mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie, sempena sambutan ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.
“Tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia. Pada 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi-institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.
“Manakala 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional (BN) yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian pada 9 Mei 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lawatan Anwar ke luar negara itu merupakan kali pertama selepas dibebaskan daripada hukuman penjara lima tahun pada 16 Mei lalu.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan dipenjara di Penjara Sungai Buloh sebelum ini, dijadual dibebaskan pada 8 Jun ini.
Anwar, 71, menjalani hukuman penjara itu sejak Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.
Bagaimanapun Anwar dibebaskan lebih awal selepas mendapat pengampunan DiRaja pada 16 Mei lalu. – MalaysiaGazette