KUALA LUMPUR – Semua pemimpin UMNO bersama-sama bertanggungjawab menyebabkan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Lantaran itu, tidak perlu menunding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, kata penganalisis politik, Prof Dr. Jeniri Amir.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, kesemua pemimpin UMNO juga tidak perlu berterusan mengimbas kesilapan lalu, sebaliknya melangkah penuh berani bagi mengubah parti itu.

“Ini kerana semua pemimpin dalam parti itu bertanggungjawab dalam kekalahan baru-baru ini.

“Mereka bertindak berselindung daripada hakikat situasi sebenar UMNO, tidak berani untuk bercakap benar. Mereka sebenarnya mementingkan diri sendiri. Mengapa mereka tidak berdepan dengan realiti sebelum ini?

“Nasi sudah jadi bubur. Semua orang cuba menyelamatkan diri. Tidak ada makna lagi bercakap tentang masa silam, mereka harus melangkah ke hadapan untuk memperkuatkan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Yang penting sekarang, katanya, UMNO perlu meningkatkan kembali semangat akar umbi yang merudum selepas kejutan 9 Mei lalu.

Untuk itu, parti berkenaan melakukan ‘pembersihan parti’ agar perubahan dapat dilakukan dan tidak terus berada pada takuk lama.

Kata Jeniri, ruang demokrasi dalam UMNO perlu dibuka dalam aspek pemilihan parti supaya parti itu mempunyai pemimpin berkaliber untuk menerajuinya

“Jika terus dengan cara lama, parti akan terus terjebak dengan masalah warisan. Cabaran sekarang bagaimana mereka memilih kepimpinan, adakah masih dengan cara lama iaitu tidak berani merombak parti, tidak dipertandingkan jawatan tertinggi?.

“Semua jawatan dari bawah ke atas harus dipertandingkan sebagai langkah pembersihan parti. Cara lama sudah lagi tidak relevan, cara mengampu pemimpin sudah tidak boleh terpakai.

“Demokrasi harus dibuka secara seluas-luasnyanya dalam UMNO dan jangan jadikan alasan kesinambungan parti menyebabkan amalan lama akan diteruskan,” katanya.

Jelas beliau, keputusan pilihan raya lalu membuktikan cara lama UMNO akhirnya menjadi racun yang membunuh kelangsungan parti itu hingga menyebabkan kekalahan dasyat sepanjang sejarah 60 tahunnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast