Menteri Komunikasi dan Multimedia , Gobind Singh Deo mengimbas kad pada sistem pengurusan masa ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu di Pejabat KKMM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 22 MEI 2018
Menteri Komunikasi dan Multimedia , Gobind Singh Deo mengimbas kad pada sistem pengurusan masa ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu di Pejabat KKMM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 22 MEI 2018

PUTRAJAYA – Semua akta-akta yang berkait rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan disemak semula supaya ia selari dengan keperluan semasa.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia akan menjadi tindakan pertama beliau selain cadangan penubuhan Majlis Media dan memperkasa kebebasan media.

“Saya mengadakan perbincangan ringkas melibatkan banyak perkara antaranya apa yang akan dilakukan dalam 100 hari pertama di Putrajaya.

“Pertama usaha ke arah memperkasa kebebasan media, kedua menyemak beberapa undang-undang yang dibawa secara tergesa-gesa dan ketiga penubuhan Majlis Media yang dirancang kerajaan Pakatan Harapan.

“Selama ini saya diberitahu bahawa ada beberapa kekangan terhadap media dan juga kandungan berita yang dilaporkan media dipersoal umum selain ada pemberita secara peribadi meluahkan keluhan mereka.

“Maka kritikan dan pandangan media ke arah pembentukan dasar kebebasan media dialu-alukan untuk kita bergerak ke hadapan.

“Kita perlu lihat bagaimana teknologi mara ke hadapan dan sistem laporan media hari ini amat berbeza berbanding 20 tahun lalu, ini antara bahagian penting yang perlu disemak semula,” katanya dalam sidang media hari pertama memulakan tugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini.

Tambah Gobind, beliau akan membincangkan penubuhan Majlis Media serta keanggotaannya bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad, Timbalan KSU (Operasi) Datuk Dr. Mohd Ali Mohd Nor, Timbalan KSU Dasar, Shakib Ahmad Shakir Setiausaha Bahahgian Kanan Pengurusan, Datuk Samsuni Mohd Nor, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman da Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Halim Shafiee.

Sementara itu, Gobind berkata, beberapa undang-undang antaranya Anti Berita Tidak Benar 2018, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang menyekat kebebasan media akan dikaji semula.

“Ini antara akta yang kami akan teliti sama ada perlu dimansuh atau disemak semula, sementara meminda akta kita juga untuk menilai pandangan masyarakat,” ujarnya.

Jelas Gobind, beliau akan berjumpa dengan semua NGO dan agensi-agensi media untuk mendapatkan input dan pandangan masing-masing ke arah pembaharuan yang diinginkan.

Ujar beliau, kesemua undang-undang berkaitan akan dirujuk kepada perdana menteri dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Saya juga akan meminta Jabatan Perundangan kementerian ini untuk duduk bersama dan melihat tindakan sewajarnya dalam perkara ini.

“Malah saya juga pasti akan ada perubahan dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tetapi saya belum jumpa pengurusan itu secara peribadi lagi. Saya perlu duduk bersama mereka dan memahami masalah mereka.

“Memang ada rancangan untuk membawa perubahan dalam SKMM, bila saya siap berjumpa dan tahu secara spesifik apa yang perlu dilakukan saya akan memaklumkan kepada media, beri saya beberapa hari untuk hadamkan isu,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette