PUTRAJAYA – Kesanggupan bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hadir ke Majlis Serah Terima Tugas kepada menteri baharu Pakatan Harapan (PH) mendapat pujian daripada Dr. Maszlee Malik.
Maszlee selaku Menteri Pendidikan baharu berkata, walaupun mereka berlainan parti politik dan kerajaan namun Idris sanggup menemuinya untuk menyerahkan tugas menteri tanpa segan silu.
“Syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Idris Jusoh atas beberapa perkara, kita ingin membuat penyerahan tugas daripada menteri kepada menteri walaupun berlainan parti, berlainan kerajaan.
“Beliau adalah ahli politik gentleman. Tanpa sikap gentlemen Datuk Seri Idris perkara ini (majlis serah terima tugas) tidak akan berlaku,” katanya berucap pada Majlis Serah-Terima Tugas Mantan Menteri Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pendidikan di Dewan Zaa’ba, Menara Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Semalam, Maszlee merupakan salah seorang daripada 13 Menteri Kabinet yang mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
Dalam PRU-14 lalu, Maszlee yang bertanding atas tiket PKR menewaskan penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng dengan majoriti 3,475 undi.
Sementara itu, Idris yang terdahulu berucap pada majlis sama sempat merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Pendidikan Tinggi yang banyak membantu beliau menjalankan tugas menteri dengan baik.
“Saya ingin memohon maaf sebagai seorang manusia biasa, yang pernah kalah dalam PRU-10 pada 1999, hari ini tak kalah tapi parti (BN) kalah,” katanya. – MalaysiaGazette