PUTRAJAYA – Dalam mesyuarat Kabinet pertama hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan untuk memansuhkan beberapa agensi kerajaan iaitu Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Hal Ehwal Semasa (JASA).
Mengulas mengenai penutupan MPN, Dr Mahathir berkata, majlis itu adalah badan yang digunakan untuk menyokong kerajaan terdahulu dan penutupannya adalah wajar.
“Pada mulanya ia satu badan yang kita guna untuk dapatkan maklumat tapi akhir-akhir ini banyak unsur politik jadi saya rasa ia banyak digunakan untuk sokong kerajaan.
“Jadi kita tidak mahu amalan ini kerana ia diamalkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama hari ini.
Turut akan menerima nasib sama adalah SPAD yang sebelum ini ditubuhkn untuk melaksanakan transformasi pengangkutan awam di Malaysia.
“SPAD tidak akan dikekalkan sebaliknya kembali ke Menteri Pengangkutan,” kata Dr. Mahathir lagi.
Sebelum ini bekas pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mempertikaikan gesaan untuk menutup agensi persekutuan itu kerana mendakwa ia diperlukan bagi melaksanakan transformasi pengangkutan awam di Malaysia.
Bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu berkata, SPAD sudah menunjukkan kejayaan dalam merancang sektor itu secara strategik.
Antara yang akan turut dimansuhkan adalah Jabatan Hal Ehwal Semasa (JASA).
JASA di peringkat awal penubuhannya dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK) bertujuan memelihara dan mempertahankan kestabilan politik, agama dan kerajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia pada 1960. – MalaysiaGazette
Tun M pengerusikan mesyuarat Kabinet kali pertama