Kemeriahan pertunjukan bunga api sempena Pembukaan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Stadium Terbaik Dunia bagi kategori Stadium Sedia Ada pada Kongres Stadium Dunia 2018.

Stadium yang turut menjadi tuan rumah pelbagai kejohanan dan konsert bertaraf dunia itu mengalahkan tiga buah stadium ternama lain iaitu U Arena, Stade de France, dan Nouveau Stade de Bordeaux, ketiga-tiganya terletak di Perancis.

Stadium U Arena merupakan stadium bagi sukan ragbi manakala Stade de France dan Nouveau Stade de Bordeaux pula sering menjadi tuan rumah bagi pelbagai perlawanan bola sepak di Eropah.

“Satu berita yang amat baik dan menunjukkan sikap dedikasi dan kerja keras daripada semua pihak yang terlibat,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KL Sports City.

Pada tahun 2017, stadium dengan kapasiti sebanyak 87,411 itu melalui proses pengubahsuaian untuk digunakan ketika Sukan SEA dan Sukan Para ASEA.

Selain daripada sukan bola sepak, olahraga, dan terbaru ragbi, stadium ini juga digunakan untuk pelbagai acara hiburan termasuklah Tayangan Perdana filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.

Stadium ini mula dibina pada 1 Januari 1995 dan digunakan secara rasmi pada Sukan Komanwel 1998 yang menyaksikan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu. – MalaysiaGazette