KUALA LUMPUR – Kira-kira 40 orang pengamal media berada di Menara Ilham pada Selasa lalu – tempat beroperasinya Majlis Penasihat Kerajaan (MPK).
Pada hari itu, jumlah media luar biasa ‘besarnya’ berbanding hari-hari lain.
Selain diuar-uarkan Pasukan Petugas Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengadakan mesyuarat pertama di bangunan itu, kumpulan media juga perlu membuat liputan kerana pada hari tersebut taikun, Robert Kuok dijangka menyertai sidang MPK.
Kehadiran Kuok pada hari itu adalah pertama kali sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan lima panel MPK.
Selain Kuok, empat anggota MPK ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram.
Seawal 9.20 pagi, sebuah kereta membawa Hassan tiba di lobi, dan diikuti dengan Zeti tiba di depan pintu lobi.
Seterusnya, kedatangan beberapa ketua-ketua syarikat milik kerajaan, kementerian dan agensi kerajaan juga tiba.
Namun, kumpulan wartawan dan lensa-lensa kamera terus menantikan Kuok yang dikatakan akan menyertai mesyuarat MPK pada hari tersebut.
Waktu semakin menginjak dan bayangan Kuok langsung tidak kelihatan, lantas kumpulan wartawan menjangkakan beliau mungkin telah tiba lebih awal dan memasuki bangunan itu melalui pintu lain.
Ketika kumpulan media berpecah selepas pengurusan bangunan meminta lobi dikosongkan bagi tidak menganggu, penulis duduk di kawasan halaman Menara Ilham.
Tiba-tiba duduk seorang lelaki dan bertanya mengapa kehadiran media begitu ramai sekali dan penulis pun memaklumkan bahawa kami sedang menunggu Robert Kuok.
Sambil tersenyum dia berkata: “Robert Kuok sudah pun berada di atas untuk bermesyuarat”. Daripada sembang kosong dengan lelaki itu, difahamkan taikun itu memasuki Menara Ilham melalui tingkat letak kereta bawah tanah.
Sepatutnya kereta yang membawa hartawan itu berhenti di lobi sahaja tetapi melihat jumlah media yang ramai menyebabkan Kuok menaiki lif dari tempat letak kereta.
Penulis pun bertanya apakah jenis kereta yang dinaiki oleh Kuok semasa datang ke bangunan itu kerana tidak nampak pun kereta mewah yang lain memasuki perkarangan Menara Ilham.
“Dia naik kereta biasa je. Mercedes S400, itu pun yang lama. Kereta yang mengiringi Kuok pun kereta lama. Mana ada kereta baru,” katanya.
Beberapa kumpulan media berpandangan sesama sendiri – salahlah jangkaan awal kami yang menyangka mungkin taikun itu menaiki kereta mewah.
Kami diberitahu Kuok tidak mempunyai kereta mewah baharu yang disimpan di kediamannya memandangkan beliau sudah lama tidak pulang ke Malaysia.
Kuok lebih banyak menghabiskan masanya di Hong Kong.
Kali terakhir balik ke Malaysia tiga tahun lalu, sebelum balik pada malam Isnin lalu semata-mata memenuhi jemputan Perdana Menteri.
Kakitangannya berkata, Kuok lebih senang menggunakan kenderaan biasa, malah pernah dibawa dengan kereta Kancil oleh rakannya semasa menyambut beliau tiba dengan pesawat miliknya di Subang beberapa tahun lalu.
“Dia seorang simple, tidak suka membazir walaupun kaya-raya,” katanya.
Mendengar cerita Kuok membuat kami teruja untuk menemuinya. Walaupun jam menginjak ke pukul 5 petang, kumpulan media tidak pun berganjak.
Disebabkan teruja untuk melihat kelibat Kuok yang selama ini memang tidak pernah mendedahkan diri kepada media, mata kami bertumpu ke pintu lif di sebalik cermin di depan lobi.
Simbahan cahaya kamera mengejutkan sekumpulan wartawan yang sudah longlai yang seharian menunggu.
Kuok yang memakai suit kelabu keluar dari lif bersama Daim. Empat pengawal peribadinya yang mengiringi beliau agak terperanjat dengan terjahan media tidak mampu mengelak.
Hartawan itu disekat dalam bentuk bulatan sebaik sahaja keluar dari pintu lobi – meskipun Kuok kelihatan agak penat beliau tetap menjawab pertanyaan media yang bertalu-talu.
Tutur bicaranya masih jelas walaupun suaranya agak perlahan dan berhati-hati.
Pada usia 94 tahun dan bermesyuarat selama 7 jam berada bersama MPK sudah pastinya letih.
Tetapi, tiada riak marah kepada media, sebaliknya sempat mengucap terima kasih kerana mesyuarat yang panjang menyebabkan media perlu menunggunya lama.
“Minta maaf” kata Kuok dalam bahasa Melayu sebelum menaiki kenderaannya. – MalaysiaGazette