KAMPALA – Kemalangan ngeri sehingga meragut 48 nyawa antaranya 16 kanak-kanak di di Kiryandongo, yang terletak kira-kira 220 kilometer di utara Kampala menyebabkan seluruh warga Uganda berkabung selama tiga hari hari.
Menurut laporan agensi, Presiden Uganda, Yoweri Museveni yang menyifatkan insiden ini antara yang terburuk dan menyayat hati mengistiyarkan penduduk negara itu berkabung mengingati mangsa selama tiga hari bermula semalam.
Perdana Menteri Uganda, Ruhakana Rugunda dalam satu kenyataan berkata, kerajaan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara bermula Ahad sehingga Selasa.
“Hasil siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca akibat kenderaan dipandu laju, selain kegagalan mekanikal. Kita masih lagi jalankan siasatan ketika ini dan sangat berduka cita berhubung insiden ini,” katanya.
Tambah beliau, ahli keluarga mangsa yang maut akan menerima pampasan sebanyak 1,145 euro (RM5,297), manakala yang cedera menerima 684 euro (RM3,166).
Uganda merupakan antara negara yang mencatatkan rekod keselamatan jalan raya terburuk, disebabkan keadaan kenderaan dan jalan raya serta cara pemanduan berbahaya.
Statistik Kementerian Pengangkutan Uganda menunjukkan lebih daripada 9,500 orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Uganda dari 2015 hingga 2017, jumlahnya sentiasa bertambah saban tahun. – Malaysia Gazette