Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah dinasihatkan bahawa tidak wajar untuk menjawab soalan-soalan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana pihak berkuasa menyatakan siasatan masih dijalankan.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak telah menarik balik samannya terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan pemilik portal berhubung ucapannya pada majlis makan malam.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu, anak guamnya telah mengarahkan beliau untuk menarik balik saman terhadap defendan, Pua dan Chan Chee Kong, lapor The Star.

Mohd Hafarizam berkata, defendan bersetuju dengan penarikan balik itu di bawah syarat-syarat yang tidak didedahkan.

“Mahkamah membenarkan penarikan balik itu dan kemudian melepaskan saman itu tanpa kebebasan untuk memfailkannya lagi,” katanya selepas menemui hakim Mahkamah Tinggi Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini.

Ia merupakan penarikan kedua saman oleh bekas perdana menteri itu.

Najib telah menarik balik saman terhadap bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik manakala Ling juga menarik balik tuntutan balas terhadap Najib pada 22 Mei lalu.

Peguam Michelle Ng mewakili Pua manakala Chan diwakili oleh peguam Shahid Adli Kamarudin.

Najib menyaman Pua dan Chan – pemilik portal MediaRakyat kerana mendakwa difitnah.

Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada 5 Mac 2015, Najib berkata, Pua telah menyampaikan ucapan berkaitan 1Malaysia Development Berhad pada majlis makan malam pengumpulan dana DAP pada 3 Nov 2014, yang mana beliau telah difitnah.

Beliau berkata, ucapan itu kemudian dimuat naik oleh Chan atau ejennya ke saluran YouTube MediaRakyat dan laman web MediaRakyat.

Najib telah menuntut kedua-dua defandan memohon maaf, penarikan balik kenyataan dan pampasan. – MalaysiaGazette