MADRID – Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane mengeluarkan kenyataan mengejut mengenai masa depan Gareth Bale di Santiago Bernabeu.
Zidane yang juga bekas pemain kelab itu berkata, bintang sensasi Cristiano Ronaldo akan terus kekal bersama kelab itu.
Namun dia enggan memberi jaminan tentang nasib Bale bersama kelab itu.
Bale dan Ronaldo mengumumkan mahu meninggalkan kelab itu selepas menjulang Liga Juara-Juara Eropah di Kiev, Ukraine dengan menewaskan Liverpool 3-1 semalam.
Pengakuan Ronaldo mengejutkan penyokong Real dan rakan sepasukannya.
Namun situasi bekas pemain Tottenham Hotspurs, Bale yang tidak gembira di kelab itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Bale didakwa gagal mengekalkan prestasinya dibawah Zidane dan menagih jaminan setelah tidak disenaraikan kesebelasan utama pada aksi final semalam.
“Cristiano Ronaldo akan kekal di Madrid tetapi kita kena melihat juga.
“Agak sukar untuk kita menjelaskan sumbangannya (Ronaldo) kepada kelabnya kerana pencapaian dalam karier bolanya bagitu besar sekali.
“Tetapi situasi Bale agak rumit di kelab ini,” kata Zidane.
Bale memberi isyarat jelas bahawa dia sudah bersedia untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Namun, klausa pelepasan dan pendapatan yang diraih pemain itu dijangka memberi masalah besar kepada hasratnya untuk berhijrah ke kelab lain selain kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.
Ronaldo dalam aksi semalam gagal menjaringkan gol, tetapi Bale yang menjadi pemain simpanan menjaringkan dua gol bagi membantu Real menjulang Liga Juara-juara Eropah yang ke-13 untuk kelab itu.
Bale mempunyai kontrak bersama Real sehingga 2022. – Agensi