Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Paduka Ibrahim Ali sebagai Presiden pertubuhan itu yang dibuatnya pada 15 Mei lalu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas ADT Perkasa minggu lalu dan telah disampaikan kepada Ibrahim sehari selepas itu.

Pemangku Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, penolakan itu dibuat berikutan jawatan Presiden Perkasa yang disandang Ibrahim dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan selaras dengan Fasal 9 perlembagaannya.

“Keputusan menerima peletakan jawatan Ibrahim juga perlu dimuktamadkan dalam Perhimpunan Tahunan Perkasa.

“ADT Perkasa merayu Ibrahim bersabar menunggu keputusan tersebut, selewat-lewatnya pada November ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas pada Jumaat lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Perkasa, berikutan keputusannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Bebas.

Menurut Ruhanie, beberapa ADT dan kepimpinan tertinggi Perkasa pusat dan negeri terkejut dengan keputusan Ibrahim mahu meninggalkan pertubuhan itu untuk aktif semula dalam politik.

“Mereka meminta keputusan itu ditangguhkan kerana ahli dan pemimpin Perkasa sedang memikirkan sama ada NGO ini perlu dijadikan sebuah parti politik.

“Ini kerana cadangan menjadikan Perkasa sebuah parti politik perlu dihalusi dari semua segi, termasuk implikasinya kepada masa depan pribumi di era pasca PRU14.

“Perkasa pusat juga bercadang mengadakan satu sesi meja bulat untuk memperincikan ura-ura berkenaan,” katanya.

Katanya, maklum balas rakyat mengenai ura-ura itu juga penting untuk pertimbangan menjadikan Perkasa sebuah parti politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast