Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab.Aziz
Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

KUALA LUMPUR – Pakar-pakar akademik bersetuju dengan cadangan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) yang mahu supaya universiti berkenaan diletakkan di bawah satu inisitif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu.

Langkah tersebut perlu dilakukan bagi memperkasa hak dan keistimewaan orang Melayu di negara ini agar tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Malah, mereka berpendapat, tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) yang mendesak supaya kerajaan membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum sebagai satu permintaan yang melampau dan bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, pengwujudan UiTM adalah sangat jelas dan polisinya adalah untuk Bumiputera.

Katanya, ia tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya dan perlu mengikut garis panduan serta perundangan.

Hindraf menggesa supaya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera.

“Polisi UiTM ini adalah untuk memberi pendidikan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera.

“Sebarang polisi yang dibuat di bawah perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) sekiranya mahu diubah ia hendaklah mendapat perkenan dan dibincang di bawah perkara 38.

“UiTM ini tidak seperti institusi pendidikan yang lain dan penubuhannya adalah mengikut Perlembangaan dan sudah dikhususkan kepada orang Melayu dan Bumiputera,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazatte hari ini.

Tegas beliau, Hindraf tidak wajar untuk membuat tuntutan yang semberono lebih-lebih sekiranya perkara itu melibatkan Perlembagaan.

Shamrahayu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Hindraf apabila menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan antaranya termasuk pengambilan 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, dalam landskap negara baharu yang mengutamakan keharmonian kaum semua pihak boleh mengutarakan pandangannya tetapi tidak semestinya melibatkan UiTM.

Katanya, terdapat cara lain yang boleh digunakan kepada kaum dan juga etnik-etnik
di negara ini seperti langkah mengguna merit bagi menentukan keperluan-keperluan tertentu.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu agar tidak dilihat kaum India ini dipinggirkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tuntutan Hindraf itu adalah sebagai memenuhi permintaan di atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi

Katanya, menerusi kemenangan itu sehingga terbentuknya kerajaan baharu hari ini, mereka (Hindraf) menjadikan ia sebagai lesen untuk membuat tuntutan.

“Mereka ini mungkin masih belum sedar mengenai kewujudan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan orang-orang Melayu serta Bumiputera dan banyak lagi perkara lain.

“Jadi kerajaan Pakatan Harapan perlu mengikut Perlembagaan yang ada tanpa perlu tunduk kepada permintaan pihak-pihak tersebut.

“Kita tahu mereka itu mahu mengambil kesempatan dan peluang seolah-olah tidak tahu mengenai roh dan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan yang ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette

BACA: PAUiTM gesa kerajaan tak tunduk desakan Hindraf

BACA: Pertunas bantah tuntutan Hindraf, gesa kerajaan terus pertahan UiTM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast