Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM), Datuk Mohd. Zaini Hassan. foto file MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) yang mewakili 700,000 alumni UiTM di seluruh negara memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) yang mendesak supaya membuka kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum, kata presidennya, Datuk Mohd. Zaini Hassan.

“Ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu, katanya.

“PAUiTM bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu Bumiputera di negara ini,” kata Mohd. Zaini.

Sehubungan itu pihaknya mahu kenyataan berbau hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun.

Sebaliknya PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu.

“Bagi mempastikan UiTM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu,” tambahnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.