JAKARTA – Sekurang-kurangnya 10 penumpang dalam penerbangan yang bersedia untuk berlepas dari pulau Borneo cedera, kebanyakannya mengalami keretakan tulang dan luka di kepala kerana panik selepas seorang lelaki mendakwa ada bom di atas pesawat berkenaan.
Para penumpang terdengar seorang lelaki berusia 26 tahum, Frantikus Nirigi memberitahu anak kapal bahawa terdapat bom dalam pesawat Lion Air Boeing 737
Ketika kejadian pesawat berkenaan membawa 189 orang penumpang, menurut pegawai polis di Kalimantan Barat, Nanang Purnomo.
Mendengar dakwaan tentang bom itu, seorang penumpang telah bertindak memecahkan pintu keluar kecemasan bagi membolehkan penumpang lain keluar.
Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan gagal menemui bom tersebut.
Nirigi dan penumpang yang bertindak memecahkan pintu pesawat berkenaan telah ditahan untuk siasatan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh penumpang berdiri di atas sayap kanan pesawat untuk menyelamatkan diri.
Purnomo berkata, lapan penumpang dirawat kerana mengalami patah tulang dan luka di kepala manakala beberapa lagi cedera ringan.
Jurucakap syarikat penerbangan, Danang Mandala dalam satu kenyataan berkata, penerbangan itu terpaksa ditangguhkan kerana penumpang panik membuka kedua pintu kecemasan di sebelah kanan pesawat tanpa arahan daripada anak kapal.
Tegasnya, “jenaka bom” bukan sebab yang sah untuk mana-mana penumpang membuka pintu kecemasan tanpa arahan anak kapal itu.
Tiada barang yang mencurigakan ditemui selepas pemeriksaan menyeluruh pesawat oleh anggota polis dan keselamatan di lapangan terbang Supadio di bandar Pontianak.
Penerbangan itu berlepas ke Jakarta, ibukota Indonesia, selepas penangguhan selama tiga jam, kata Lukman Nurjaman, jurucakap Lion Air. – MalaysiaGazette