Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri), Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dua kanan), Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng (kiri) dan Menteri Pertahanan Malaysia, Yb Mohamad Sabu (kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang merancang untuk membina sebuah pulau kecil di Batuan Tengah yang terletak di Selat Singapura dan berhampiran dengan Pulau Batu Putih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilikan Batuan Tengah sebelum ini dianugerahkan kepada Malaysia malah kerajaan sebelum ini sudah membina struktur di atas pulau berkenaan.

“Sebenarnya mereka (Mahkamah Keadilan Antarabangsa-ICJ) memberikan Batuan Tengah kepada kami dan kami (kerajaan) sudah membina struktur di sana.

“Memang niat kami untuk membesarkan Batuan Tengah itu supaya kami boleh membentuk sebuah pulau kecil untuk kami (Malaysia),” katanya pada sidang media di Perdana Putra di sini hari ini.

Pada Februari 2017, Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singa­pura.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, permohonan semakan telah difailkan di mahkamah tersebut yang terletak di The Hague, Belanda iaitu setahun sebelum tamat tempoh untuk berbuat demikian.

Keputusan ICJ pada tahun 2008 menganugerahkan Batu Tengah ke Malaysia dan pulau Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh berhampiran ke Singapura.

Mahathir juga berkata, kerajaan Malaysia juga akan mempertimbangkan menarik diri daripada kes Batu Putih daripada ICJ.

Semakan semula tuntutan itu pada Februari 2017 dibuat selepas menemui bukti baharu dalam tiga dokumen di Perpustakaan Negara United Kingdom pada Ogos 2016. – MalaysiaGazette