Rozita Mohamad Ali ketika hadir semasa prosiding mahkamah pada bulan Mac lalu.

PUTRAJAYA – Seorang suri rumah yang menjadi tajuk berita selepas beliau mengaku salah terhadap pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya, hari ini diberikan penangguhan menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dan dua penjamin sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Rozita Mohamad Ali, 44, sebelum ini ditahan di penjara Kajang selama kira-kira dua bulan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Mac tahun ini menolak permohonannya bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu pendengaran rayuan terhadap hukumannya itu di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim hari ini membenarkan permohonan Rozita bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjaranya itu.

Hakim Ahmadi yang mengetuai panel itu memerintahkan dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis Damansara Utama setiap dua minggu.

Rozita, yang memakai tudung hitam dan baju kurung hijau dibawa ke mahkamah dengan diiringi wardar penjara. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast