Tajuddin
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhasrat mahu bertanding satu daripada jawatan tertinggi dalam UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyatakan, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat kata sepakat pada Mesyuarat Bahagian Pasir Salak yang menyokong beliau untuk bertanding dalam kepimpinan parti keramat Melayu itu.

Menurutnya, sebagai ahli UMNO selama 42 tahun, beliau yakin dirinya mampu menyumbang idea dan tenaga sepenuh masa untuk membantu UMNO supaya bangkit semula.

“Saya sanggup terima jika bahagian-bahagian menganggap saya berkemampuan untuk meneruskan usaha parti dan menyumbang untuk menguatkan parti menjadi gagah perkasa semula,” katanya dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pemilihan parti itu amat penting kerana mereka yang terpilih akan memandu ahli-ahli UMNO untuk pastikan parti itu kekal relevan.

Katanya, beliau yakin anggota UMNO kini lebih matang membuat penilaian yang betul dalam memilih pemimpin demi untuk memulihkan parti serta mengelakkan berlakunya sebarang perpecahan. – MalaysiaGazette