KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, iaitu sehari selepas pencalonan dibuka.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira kata putus ahli yang memintanya supaya menyumbangkan idea untuk membaiki semula parti selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.
Katanya, beliau akan menghantar pencalonan itu secara talian petang ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
“Saya akan pastikan UMNO mendapat nafas baharu dan kembali ke landasan asas penubuhan parti demi mengembalikan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana anjuran Pertubuhan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) di Seremban, hari ini.
Semalam, dua pemimpin UMNO mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden.
Mereka ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman. – MalaysiaGazette