Gambar hiasan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapt. Izham Ismail berkata, tempoh suku pertama tahun ini terbukti menyaksikan pasaran yang amat kompetitif namun tidak menghalang syarikat tersebut mencapai sasarannya.

Malah, tempoh berbaki 2018 juga memberi cabaran besar dari segi peningkatan harga minyak serta pengukuhan nilai ringgit.

“Keupayaan ringgit mengukuhkan nilainya akan memberi manfaat kepada rakyat tempatan. Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari bahawa ini sebaliknya tidak memberi faedah kepada kami di peringkat global.

“Sebagai contoh, apabila kami menjual tiket penerbangan di Australia dalam mata wang negara itu, ia tidak memberi manfaat jika ringgit sebaliknya mengukuh,” katanya kepada Bernama.

Kapt Izham yang juga juruterbang pertama menyandang tugas utama mengemudi syarikat itu berkata, antara strategi utama Malaysia Airlines adalah meningkatkan pulangan berbanding perolehan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (RASK).

Syarikat penerbangan nasional itu mencapai peningkatan RASK sebanyak 3.5 peratus bagi tahun ke tahun untuk suku pertama 2018 manakala prestasi ketepatan masanya pula meningkat 4.0 peratus kepada 76 peratus dan Indeks Kepuasan Pelanggan turut naik sebanyak 4.0 peratus.

“Aspirasi kami tidak hanya untuk memulihkan prestasi syarikat ini tetapi memastikannya untuk turut mencatat pertumbuhan.

“Saya sedia maklum yang kita mungkin tidak dapat berkembang pesat sebagaimana syarikat penerbangan lain seperti Cathay Pacific, Emirates dan Etihad. Harapan saya adalah untuk menyaksikan Malaysia Airlines mampu mencatat pertumbuhan mampan secara berperingkat iaitu dengan sasaran tiga hingga peratus bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Malah, sekiranya Malaysia Airlines berjaya mencatat asas lebih kukuh pada 2020 dan berikutnya, ini akan menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak empat sehingga enam peratus dengan memperkenalkan destinasi baharu yang lebih menguntung serta meningkatkan kekerapan penerbangan sedia ada.

“Kami melancarkan destinasi Surabaya pada tahun ini dan seterusnya Brisbane pada bulan ini. Kami juga menyediakan perkhidmatan penerbangan dua kali ke Sydney dan Melbourne selain turut meningkatkan kekerapan penerbangan ke China. Inilah pertumbuhan rangkaian (penerbangan) yang kami maksudkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia Airlines bukannya sebuah syarikat penerbangan tambang rendah sebaliknya premium yang mengamalkan hospitaliti atau layanan mesra Malaysia dengan memaparkan sikap rakyat negara ini yang merendah diri serta penyayang.

“Kami di Malaysia Airlines amat merasakan semangat itu dan inilah juga produk yang membezakan kami dengan syarikat penerbangan premium dunia yang lainnya. Layanan mesra rakyat Malaysia itu bermula dengan kami,” katanya.

Beliau juga menganggap hakikat ramai yang bersikap kritikal terhadap syarikat penerbangan itu sebagai membuktikan lagi bahawa Malaysia Airlines itu adalah mewakili Malaysia.

Malah, beliau menyambut baik kritikan itu yang disifatkannya sebagai membina untuk membolehkan beliau dan pasukan melakukan penambahbaikan yang bersesuaian.

“Saya sendiri adalah bekas juruterbang yang akan membuat penambahbaikan sewajarnya terhadap rancangan penerbangan. Langit mungkin tidak cerah pada 2018, namun saya melihat keadaan sebaliknya pada 2019.

“Ini tidak ubah sepertimana mengemudi pesawat ketika mengharungi gangguan gelora udara dengan kebanyakan penumpang akan ketakutan dan duduk rapat di tempat duduk masing-masing. Namun, usaha mengharungi gangguan itu sebenarnya bergantung kepada sejauh mana kecekapan juruterbang untuk mengendalikan pesawat berkenaan,” katanya. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast