KUALA LUMPUR- Had penggal perlu dikenakan kepada ahli-ahli Parlimen bagi memastikan mereka tidak memegang jawatan tersebut terlalu lama.
Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, langkah tersebut selain dapat mengelakkan gejala rasuah melibatkan ahli-ahli politik berleluasa, ia juga mampu memberi ruang kepada anak-anak muda yang berpotensi untuk terlibat sebagai pembuat dasar.
Jelasnya, apa yang terjadi di dalam UMNO dan Barisan Nasional sehingga menyebabkan parti itu tumbang dalam pilihan raya lalu menjadi iktibar dan panduan kepada Pakatan Harapan.
“Kita melihat apa yang dilakukan oleh UMNO dan BN maka kita pastikan bahawa kami di Pakatan Harapan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.
Saya bersetuju sekiranya had penggal dikenakan kepada ahli parlimen,” katanya semasa menjadi salah seorang panel di dalam Wacana Malaysia Baru: Perubahan dan Kesinambungan di sini hari ini.
Wacana tersebut dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, ADUN Paloh, Amran Ariffin dan Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ulya Uqamah Husamudin.
Menurut Ulya, peraturan had penggal kepada ahli parlimen telah pun dilaksanakan di dalam parti PPBM.
“Kami menetapkan had dua penggal kepada ahli parlimen dan selepas itu peluang perlu diberikan kepada orang lain pula,” katanya.
Tambah beliau, individu-individu tersebut bagaimanapun bebas bertanding semula selepas tempoh itu tamat tanpa menyatakan berapa lama atau penggal untuk seseorang ahli parlimen itu “berehat”. – MalaysiaGazette